PETALING JAYA: Pasukan yang menggunakan produk ‘buatan Malaysia’ 100 peratus, Petaling Jaya City (PJ City) akan bersaing dalam Liga Super 2023, sekali gus menafikan khabar angin mereka di ambang untuk ‘gulung tikar’ kerana masalah kewangan.
Selepas beberapa hari berita pembubaran PJ City berlegar di media sosial, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PJ City, S. Ganesh tampil menjelaskan kedudukan kelab itu yang sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi cabaran pada musim baharu.
Menegaskan berita penarikan diri itu sebagai tidak berasas, skuad The Phoenix sudahpun melengkapkan proses pelesenan kelab tanpa sebarang masalah.

“Kita akan kekal bermain dalam Liga Super musim depan, kelab ini bukan untuk dijual.
“Memang ada sedikit perubahan yang kita buat, ia cuma penstrukturan dalaman, dengan adanya satu lagi pasukan beraksi di Liga Simpanan.
“Satu perubahan kecil di dalam penstrukturan untuk memastikan kelab ini berdaya maju secara komersial,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kata Ganesh, pasukan telah melengkapkan pelesenan kelab sebagai ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Kelab juga mematuhi segala garis panduan untuk permohonan lesen AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), jadi tiada sebab untuk mengatakan kelab mahu menarik diri,” tegasnya.

Tahun ini adalah musim kedua PJ City, yang dahulunya dikenali sebagai MISC-MIFA mempertaruhkan sepenuhnya pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Ketika saingan Liga Super berbaki tiga perlawanan untuk ditamatkan, skuad bimbingan P. Maniam menduduki tangga kesembilan daripada 12 pasukan dengan mencatat empat kemenangan, lapan seri serta tujuh kekalahan.
PJ City berjaya memberi cabaran sengit kepada pasukan utama liga yang diperkuatkan tonggak import, termasuk mengejutkan Kedah 1-0 di Alor Setar dalam perlawanan terakhir mereka, Sabtu lalu.