PETALING JAYA: Selangor FC memulakan misi memburu Piala Malaysia ke-34 dalam keadaan serba tempang apabila menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini tanpa dua tonggak.
Pengendali Reds Giants, Tan Cheng Hoe mengakui, ketiadaan pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar atau lebih dikenali dengan julukan Afro dan tonggak tengah Ghana, Alex Agyarkwa menjejaskan perancangan pasukannya.
“Sharul dilayangkan kad merah dalam aksi terakhir Liga Super bertemu Penang FC, sekali gus digantung perlawanan manakala Agyarkwa disisihkan ekoran kecederaan.
“Situasi ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan khususnya ketiadaan Sharul yang membentuk kombinasi baik di posisi pertahanan bersama Yazan Al Arab.
“Namun, saya pasti siapa sahaja yang diturunkan bersedia menggalas tanggungjawab dengan motivasi pasukan sepanjang sesi latihan cukup positif,” katanya.
Cheng Hoe yang juga bekas pengendali Harimau Malaya meminta pasukannya berwaspada dengan ancaman Kelantan United walaupun lawannya itu wakil dari Liga Perdana.
Jelasnya, tiga pemain tuan rumah, Masashi Motoyama, Jacob Njoku dan Nik Akif Syahiran perlu ‘dirantai’ jika mahu membawa bekalan selesa ke Petaling Jaya pada pusingan kedua nanti.
“Kita dapat lihat mereka memiliki corak permainan agresif selain bergantung dengan dua import dari Nigeria (Njoku) dan Jepun (Motoyama).
“Selain itu, mereka juga memiliki Nik Akif (Nik Mat) yang mempunyai kualiti tersendiri,” katanya