AMSTERDAM: Liverpool hanya memerlukan satu mata untuk menempah tiket ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara apabila berdepan Ajax di Johan Cruyff, esok.
Sebaliknya, Ajax perlu meraih kemenangan untuk terus kekal dalam saingan elit Eropah tersebut.
Begitupun, satu mata tidak cukup untuk Reds memintas Napoli di puncak Kumpulan A, dengan berbaki satu perlawanan.
Liverpool seakan kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Manchester City dan West Ham 1-0 minggu lalu.
Begitupun, kekalahan 1-0 kepada Nottingham Forest, Sabtu lalu mencetus persoalan mengenai tahap konsistensi skuad kendalian Jurgen Klopp.

Ketumpulan jentera serangan selepas kehilangan Luis Diaz, Diogo Jota dan Darwin Nunez tampak amat ketara.
Begitupun, menjelang kunjungan ke Amsterdam, Liverpool menerima khabar melegakan apabila Nunez dijangka kembali menguatkan jentera serangan.
Nunez, 23, dijangka bergandingan dengan Mohamed Salah serta Roberto Firmino, dan Reds mungkin kembali kepada formasi biasa mereka 4-3-3 berbanding 4-4-2 ketika kalah kepada Forest.
Selepas menumpaskan Ajax 2-1 dalam aksi pertama bulan lalu, Klopp optimis mereka mampu mengutip sekurang-kurangnya satu mata.
“Semua pemain beraksi di bawah tahap sebenar ketika tewas kepada Nottingham dan kami perlu bangkit serta memberi fokus apabila berdepan Ajax.
“Mereka (pemain) perlu mengurangkan kesilapan dan memanfaatkan peluang yang ada,” ujarnya. – AGENSI