PETALING JAYA: Malaysia enggan mengambil risiko dengan bermain secara ‘selamat’ dan berpuas hati muncul naib juara kumpulan pada Kelayakan Piala Asia Bawah 17 (B-17) 2023, sebaliknya turun dengan misi mengalahkan Indonesia hari ini untuk meraih tiket automatik.
Slot automatik selaku juara kumpulan kini menjadi buruan anak didik Osmera Omaro, dan hanya akan tercapai jika mereka menumpaskan pendahulu, Indonesia malam ini.
Malaysia kini berada di tangga kedua mengumpul tujuh mata, dibezakan dua mata di belakang Indonesia.
Bagi Osmera, pasukannya akan memburu slot secara merit dan enggan mengambil risiko selaku kedudukan naib juara.

“Menentang Indonesia, kita akan turun bermain untuk meraih tiga mata penuh dan meraih slot secara automatik Piala Asia B-17 tahun depan.
“Pemain telah membuktikan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kemenangan 3-2, motivasi pemain kita berada di tahap tertinggi untuk meraih kemenangan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Malaysia memulakan kejohanan dengan kemenangan 4-0 mengatasi Palestin pada aksi pertama.
Bagaimanapun ketika mereka dijangka tidak menghadapi masalah untuk membenam Guam dalam aksi kedua, negara itu mengikat pasukan muda negara 1-1.
Begitupun kemenangan mengejut 3-2 ke atas pasukan pilihan, UAE pada aksi ketiga kelmarin memberikan nafas baharu buat pasukan untuk terus bersaing dengan Indonesia untuk merebut slot automatik selaku juara kumpulan.
Berdasarkan format kejohanan kali ini, 10 pasukan yang menamatkan saingan selaku juara kumpulan akan layak secara automatik.
Lima pasukan terbaik dalam kalangan naib juara kumpulan akan melayakkan diri untuk beraksi di peringkat akhir Piala Asia B-17 2023.