fbpx

Hakim Danish kembali garang di laman sendiri

Hakim Danish menjuarai perlumbaan 2 Asia Talent Cup di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. GAMBAR / SHIDIEQIIN ZON

SEPANG: Pelumba cilik negara, Hakim Danish Ramli memastikan dia berjaya menaiki podium di laman sendiri apabila menakluk perlumbaan 2 Asia Talent Cup (ATC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Danish, 15 tahun, berputih mata semalam apabila terjatuh sekaligus tidak berjaya menamatkan perlumbaan 1.

Bagaimanapun aksi berbeza ditampilkan hari ini apabila memberikan cabaran dengan bersaing di kelompok hadapan bersama pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama yang akhirnya terpaksa berpuas hati berada di belakang Hakim dengan perbezaan 0.047 saat.

Tempat ketiga pula milik pelumba Jepun, Shinya Ezawa.

“Selepas terjatuh semalam dan gagal tamatkan perlumbaan, saya buang rasa sakit apabila turun berlumba hari ini. Saya cuba berada di depan pada separuh perlumbaan tetapi Veda juga agak laju.

“Di pusingan terakhir saya ada buat kesilapan tapi saya berjaya kawal semula motosikal dengan baik dan akhirnya memenangi perlumbaan.

“Saya tak dapat nak luahkan dengan kata-kata selepas memenangi perlumbaan di tempat sendiri kerana ini adalah kali pertama saya beraksi di Malaysia dalam saingan ATC,” jelas Hakim yang ditemui media selepas tamat perlumbaan.

Kemenangan ini menyaksikan Hakim kembali menerajui carta kedudukan pelumba dengan mengumpul 151 mata, hanya dibezakan dengan tiga mata sahaja dengan Ezawa yang berada di tangga kedua.

Justeru Hakim kini dilandasan terbaik untuk bergelar juara pada tahun ini menjelang pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Mandalika,Indonesia pada 11 hingga 13 November depan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN