MANCHESTER: Jack Grealish mengagumi rakan sepasukannya, Erling Haaland yang terus menunjukkan taring apabila meledak dua gol ketika Manchester City membelasah FC Copenhagen 5-0 dalam aksi Liga Juara-Juara semalam.
City kini sebelah kaki untuk mara ke peringkat kalah mati dengan mengungguli Kumpulan G selepas memenangi semua tiga perlawanan.
Haaland, 22, yang hanya beraksi pada musim pertamanya bersama The Citizens sudah meledak 19 gol dalam semua pertandingan.
Grealish yang masih mencari gol pertama musim ini memuji penyudah berbisa rakan sepasukannya itu sambil menyifatkan dia belum pernah melihat keadaan seperti ini sepanjang kariernya.
“Ketika gol pertama dan kedua, saya hanya mampu gelak kerana dalam fikiran saya, bagaimana dia melakukannya.
“Dia sentiasa ada di tempat yang betul, menyudahkan peluang,” kata Grealish.

Bintang England itu turut mendedahkan, penjaga gol Copenhagen, Kamil Grabara berkongsi nada sama dengannya mengenai Haaland.
“Selepas gol ketiga, penjaga gol itu berkata kepada saya ‘dia bukan manusia’, dan saya bersetuju dengannya.
“Dia memang menakjubkan, dan seorang yang merendah diri. Saya bukan sengaja mahu memujinya berlebihan tetapi ini adalah kisah benar.
“Saya harap dia akan teruskan prestasi sebegini untuk membawa kami ke arah kejayaan,” kata Grealish.
Selain Haaland, Riyad Mahrez dan Julian Alvarez turut mencatat nama sebagai penjaring, manakala satu lagi gol hasil jaringan sendiri pemain Copenhagen, David Khocholava.
Kemenangan itu memastikan City memimpin kumpulan dengan sembilan mata, tiga mata mengatasi bekas kelab Haaland, Borussia Dortmund.
Sevilla yang kalah 1-4 kepada Dortmund di tempat sendiri di tangga ketiga dan Copenhagen di dasar liga. – AGENSI