KUANTAN: Ungkapan ‘hujan rahmat’ sering digunakan kebanyakan orang setiap hujan lebat membasahi bumi.
Kelmarin, hujan benar-benar membawa ‘rahmat’ kepada Sri Pahang apabila mengikat juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-0 dalam keadaan padang becak di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Pengendali Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh mengakui, beliau menjangkakan pertemuan dengan Harimau Selatan akan dihentikan selepas tertangguh 95 minit gara-gara hujan yang tidak berhenti.
Ini selepas beliau dimaklumkan aksi Negeri Sembilan dan Kedah Darul Aman ditunda ekoran hujan lebat.
“Ketika itu saya sudah fikir macam-macam tetapi ada baiknya perlawanan diteruskan kerana jika ditunda, banyak perkara perlu dilakukan dan akan ada perlawanan pada 11 Oktober.
“Pada masa sama, jika beraksi esok (semalam) mungkin hujan lagi dan akhirnya pengadil terutama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan perlawanan diteruskan,” katanya.
Sri Pahang dan JDT hanya memulakan perlawanan pada pukul 10.35 malam.
Mengulas keputusan seri itu, Dollah bersyukur kerana satu mata berjaya dikutip pada perlawanan ini terutama berdepan lawan sehebat Harimau Selatan.
Sementara itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio tidak menjangkakan skuadnya akan mencatat keputusan 0-0 berdepan Sri Pahang kerana skuad Harimau Selatan bertandang ke tempat lawan dengan misi membawa pulang tiga mata.
“Saya tidak sangka kami hanya mengutip satu mata berdepan Sri Pahang ketika beberapa peluang dimiliki untuk menjaringkan gol,” katanya.
Hanya dua percubaan berbahaya berjaya dilakukan Harimau Selatan menerusi Fernando Martin pada minit ke-26 dan 51.
Bagaimanapun, ia digagalkan pertahanan lawan, sekali gus Harimau Selatan terpaksa akur dengan membawa pulang satu mata.
Mengulas perubahan senarai kesebelasan utama, Bidoglio berkata, ia dilakukan untuk memastikan pemain berada pada prestasi terbaik termasuk mengelakkan kecederaan.
“Pada masa sama, masih ada baki dua perlawanan selepas ini dan diharapkan pemain mengekalkan prestasi,” katanya yang mengintai Piala Malaysia sebagai sasaran berikutnya.