fbpx

Damok mahu ‘terbang’ dalam hujan di Sepang

AKSI pelumba negara, Syarifuddin Azman ketika bersaing dalam kelayakan Moto3 pada Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. – MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON

SEPANG: Kurang berpuas hati dengan pelarasan jentera yang dilakukan pasukannya, pelumba wild card (jemputan) negara, Syarifuddin Azman mengharap­kan hujan mengi­ringi saingan Moto3 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia hari ini, bagi membuka laluan mengejar podium.

Pelumba Visiontrack Ra­cing Team yang lebih dikenali de­ngan Damok itu mencatat masa sepusingan 2 minit 13.091 saat (s) pada kelayakan pertama, yang menyaksikannya sekadar berada di kedudukan ke-21 daripada 24 pelumba di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Damok, 21, berkata, pela­rasan jentera yang kurang baik telah menjejaskan prestasinya sejak sesi latihan bebas ketiga pada sebelah pagi lagi.

“Mujurlah masalah yang berlaku semasa sesi latihan dapat kami atasi menjelang kelayakan tetapi, ia tidak mencukupi untuk saya melakukan catatan masa lebih bagus.

“Semasa kelayakan, saya keluar agak lambat kerana krew buat keputusan tukar tayar, jadi, saya kurang gembira dengan perancangan yang dibuat pasukan setelah mereka hanya suruh saya bergerak dua minit sebelum bendera penamat dikibarkan,” katanya.

Syarifuddin Azman ketika ditemua bual pemberita dalam sidang akhbar MotoGP 2022 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Ekoran masalah teknikal yang melanda, Damok yang bakal beraksi sebagai pelumba tetap Moto3 musim depan berkata, dia terpaksa menukar strategi dengan mengharapkan trek pada perlumbaan sebenar, berada dalam keadaan basah.

“Saya akan ‘terbang’ esok (hari ini), saya akan tunjukkan kepada penyokong kemam­puan saya. Disebabkan beberapa isu dengan jentera, saya berasakan lebih elok saya berlumba dalam hujan.

“Kalau esok hujan, saya berpeluang naik podium. Saya juga sasarkan untuk mencipta rekod sepusingan terpantas, saya berpeluang memacu laju jentera pada selekoh empat, sembilan dan terakhir,” ujarnya dalam nada yakin.

Rekod terpantas sepanjang zaman dalam perlumbaan sebenar kini masih menjadi milik bekas pelumba Moto3 Malaysia, Adam Norrodin menerusi catatan 2:12.7750s (150.2km/j) yang dilakukannya pada 2017. 

Pada sesi kelayakan tersebut pelumba Itali, Dennis Foggia menempah petak hadapan setelah mencatat masa sepusingan terpantas 2:11.411s, manakala tempat kedua menjadi milik, juara dunia Moto3 yang baharu, Izan Guevara (2:11.635s) dan rakan sepasukannya, Sergio Garcia berada di kedudukan ketiga (2:11.647s).

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN