AMSTERDAM: Bek kiri Liverpool, Andy Robertson mendedahkan, Darwin Nunez berang sepanjang dalam bilik persalinan gara-gara gagal menyudahkan peluang terbuka pada babak babak pertama pada ketika menentang Ajax semalam.
Kemarahan itu kemudian mendorongnya bangkit lebih garang dengan menanduk gol kedua Reds untuk menang 3-0 di Johan Cruyff Arena, sekali gus mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.
Anak-anak buah Jurgen Klopp memulakan aksi dengan goyah, malah meletakkan diri di bawah ancaman tuan rumah, terutama percubaan Steven Berghuis yang menggegar tiang.
Begitupun, permainan mereka mula berubah selepas Mohamed Salah membuka jaringan pada minit ke-42 dengan melambung bola hantaran Jordan Henderson.
Nunez menebus kekecewaan dengan menanduk gol hanya empat minit selepas babak kedua bersambung.
Pemain remaja sensasi, Harvey Elliott melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-51.
“Ketika rehat babak pertama, Darwin sangat marah kepada dirinya dan kecewa melepaskan peluang yang terbuka luas.
“Saya duduk di sebelahnya dalam bilik persalinan, dan saya tidak tahu sama ada dia faham apa yang saya katakan tetapi saya beritahu: “Saya akan hantar bola ke kepada kamu, awak akan menjaringkannya, tiada masalah”.
“Seperti yang anda lihat, dia berjaya menjaringkan gol kedua. Selepas itu kami mendapat gol yang menakjubkan menerusi Harvey dan dari situ kami tahu kami sedang mengawal perlawanan,” kata Robertson.
Biarpun sudah mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati, Liverpool masih ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan A, Napoli dengan kedua-dua pasukan akan berentap di Anfield minggu depan. – AGENSI