PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk menetapkan sebarang had maksimum kutipan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah ketika ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kadar sumbangan yang diputuskan adalah hasil persetujuan bersama ahli PIBG melalui mesyuarat yang dilaksanakan pada setiap tahun.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited memastikan murid menerima kemudahan terbaik di sekolah bagi menjamin mutu pengajaran dan pembelajaran. Penubuhan PIBG memainkan peranan penting dalam usaha ini melalui pelbagai bentuk sokongan yang diberikan kepada pihak sekolah.
“PIBG ditubuhkan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998 di bawah Akta Pendidikan 1996. Keanggotaannya merangkumi semua guru serta ibu bapa murid, manakala Guru Besar atau Pengetua berperanan sebagai penasihat persatuan.
“PIBG dibenarkan mengutip sumbangan dengan kadar yang dicadangkan dan dipersetujui oleh ahlinya dalam Mesyuarat Agung Tahunan serta perlu dimaklumkan kepada Pendaftar,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN–Kulim Bandar Baharu) mengenai adakah KPM bercadang untuk adakan had maksima bagi semua sekolah bagi yuran PIBG yang dikatakan terlalu tinggi di sesetengah sekolah hingga membebankan ibu bapa.
Fadhlina berkata, sumbangan yang diterima digunakan bagi menambah baik keperluan murid dan menaik taraf prasarana sekolah.
“Sehubungan itu, tiada keperluan untuk menetapkan apa-apa kadar sebagai had maksimum kutipan sumbangan PIBG pada masa ini,” katanya. – UTUSAN










