Albert Tei mengaku tidak bersalah beri suapan RM176,829

Albert Tei mengaku tidak bersalah beri suapan RM176,829

ALBERT Tei didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan rasuah, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Tei Jiann Cheng atau lebih dikenali sebagai Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini, atas empat pertuduhan rasuah berjumlah keseluruhan RM176,829.03 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Albert, 37, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memberikan suapan RM100,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, sebagai dorongan untuk membantu syarikatnya memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Dia dituduh melakukan perbuatan tu di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishammuddin, di sini, pada 24 November 2023.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberikan suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580 kepada Pengerusi PKR Melaka itu bagi tujuan sama, di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Disember 2023 hingga 31 Januari 2024.

Bagi pertuduhan ketiga, pada 29 Januari 2024, di lokasi sama, Albert didakwa memberikan suapan RM40,000.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa memberikan rasuah berupa kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM22,249 kepada Shamsul Iskandar bagi tujuan sama di sebuah rumah di Jalan P14a 1/1, Presint 14, dekat sini, pada 26 Februari 2024.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusof Khan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Latheefa Koya.

Albert akan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada esok atas satu lagi pertuduhan berasingan.

Pada Jumaat lalu, tiga individu termasuk Shamsul Iskandar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Turut ditahan ialah Albert serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong.

Berikutan penahanan itu, Shamsul Iskandar dan Albert telah direman enam hari, manakala Sofia Rini direman empat hari.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini memaklumkan Albert merupakan individu penting dalam siasatan melibatkan dakwaan rasuah membabitkan Shamsul Iskandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN