BARCELONA: Kalah kepada Bayern Munich esok bermakna Barcelona boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Juara-Juara.
Seri juga tidak akan menyelamatkan anak-anak buah Xavi Hernandez seandainya Inter Milan mengalahkan Viktoria Plzen dalam satu lagi saingan Kumpulan C.
Suka atau tidak, Barcelona wajib menundukkan Bayern di laman sendiri untuk menghidupkan peluang melangkah ke peringkat kalah mati saingan elit Eropah itu.
Begitupun, satu-satunya berita baik buat gergasi bola sepak Sepanyol itu, lawan mereka kini berdepan krisis kecederaan pemain.
Menurut portal sukan Kicker, berada dalam senarai kecederaan Bayern adalah penjaga gol utama, Manuel Neuer yang berdepan masalah bahu.
❝We haven't lost hope.❞
— 🎙 @ericgm3 ahead of #BarçaBayern pic.twitter.com/YP1Dyy3RXd
— FC Barcelona (@FCBarcelona) October 25, 2022
Ketiadaan ketua pasukan Bayern itu akan diisi oleh Sven Ulreich.
Turut disisihkan pemain sayap Jerman, Leroy Sane akibat kecederaan paha, dan kehilangan terbesar Bayern adalah bek kiri Perancis, Lucas Hernandez.
Barcelona mempunyai rekod buruk menentang Bayern dengan lima kekalahan berturut-turut dan melepaskan 19 gol.
Kemenangan terakhir Barcelona menentang Bayern adalah pada Mei 2015 ketika dilatih Luis Enrique dengan kejayaan 3-0.
Pertemuan kali ini juga peluang terbaik buat bekas bintang Bayern, Robert Lewandowski untuk membuktikan keputusannya untum menyertai Barcelona adalah tepat.
Penyerang Poland itu telah menamatkan ‘hubungan’ selama lapan tahun di Bayern untuk ke Barcelona pada awal musim panas lalu, dengan misi utama merangkul gelaran Ballon d’Or. – AGENSI