fbpx

Tze Yong, Nurshuhaini ‘smash’ emas Sukma 2022

NG Tze Yong menumpaskan Leong Jun Hao untuk muncul juara perseorangan lelaki Sukma 2022.

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat Sukan Komanwel, Ng Tze Yong menepati ramalan apabila menyambar pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 dengan menumpaskan bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao dalam final perseorangan lelaki di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Tze Yong yang mewakili Johor bagaimanapun dipaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan pemain Wilayah Persekutuan, Jun Hao 18-21, 21-19, 21-12 dalam masa 81 minit.

Pingat gangsa milik seorang lagi pemain kebangsaan, Aidil Sholeh Ali Sadiki yang mewakili Selangor selepas menumpaskan Jacky Kok dari Kedah 21-12, 21-12.

Perlawanan akhir perseorangan wanita pula menyaksikan pertembungan sesama sendiri pemain Selangor, Siti Nurshuhaini Azman menentang bekas rakan sepasukan dalam kem kebangsaan, K. Letshana yang kembali membuat kemunculan mengejutkan selepas menyepi selama sembilan bulan.

SITI Nurshuhaini Azman merangkul gelaran perseorangan wanita.

Siti Nurshuhaini yang turun sebagai pilihan ketiga lebih ampuh untuk memenangi perlawanan itu 21-19, 21-9, sekali gus meraih emas dalam penampilan pertamanya pada Sukma.

Pingat Gangsa diraih Tan Zhi Yi dari Pulau Pinang yang menjinakkan pemain meningkat naik dari Wilayah Persekutuan, Amanda Yap 21-12, 21-12.

Aksi beregu campuran pula menyaksikan gandingan pilihan daripada Melaka, Tee Kai Wun dan Toh Ee Wei menyekat impian wakil Kelantan, Haikal Nazri dan Chan Wen Tse untuk menggondol pingat emas apabila menang dengan keptusan 21-16, 21-13. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN