Terengganu raih 'ibu segala pingat' selepas 12 tahun menanti

Terengganu raih ‘ibu segala pingat’ selepas 12 tahun menanti

PEMAIN Terengganu meraikan jaringan pembukaan yang disempurnakan Muhammad Safwan Mazlan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terengganu meraih ‘ibu segala pingat’ buat kali keempat selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam final bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian skuad Penyu yang turut meraih emas pada Sukma 2006, 2008 dan 2010.

Pulau Pinang bagaimanapun bermula garang apabila menguji penjaga gawang Terengganu, Noor Hakeem Hamidin menerusi Muhammad Syamel Idzham Shahriza pada minit ke-12 .

Muhammad Syamel sekali lagi berpeluang menjaringkan gol menerusi rembatan dari luar kotak penalti selang 10 minit kemudian, namun Noor Hakeem berada di posisi yang tepat untuk memastikan gawang tidak dibocori.

Gol sulung perlawanan yang dicari akhirnya menjadi milik Terengganu pada minit ke-24 hasil tandukan ketua pasukan, Safwan Mazlan untuk menewaskan benteng terakhir Pulau Pinang, Muhammad Azam Ramli.

Pulau Pinang berpeluang menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian, namun sepakan lemah Mohammad Zul Hisyam Zamari mudah dinafikan Noor Hakeem untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal pada babak pertama.

Memasuki babak kedua, anak didik Badrul Afzan Razali dilihat lebih agresif memburu gol kedua namun Muhammad Azam tangkas menidakkan percubaan Ahmad Aqil Asyrah Awang.

Ketinggalan satu gol tidak melemahkan semangat skuad bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang memiliki beberapa peluang pada minit ke 52 dan 62 namun gagal mengegarkan gawang Terengganu.

Terengganu menoktahkan kejuaraan keempat apabila memperolehi gol kedua hasil jaringan sendiri pemain Pulau Pinang, Muhammad Aidil Azuan yang tertampan bola ke dalam gawang pada minit ke-85 dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat masa perlawanan.

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik Selangor selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 3-1 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi petang tadi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya