MANCHESTER: Borussia Dortmund tahu sehebat mana kemampuan Erling Haaland apabila berdepan bekas ‘mesin gol’ mereka itu yang akan mengetuai jentera serangan Manchester City dalam perlawanan kedua Liga Juara-Juara esok.
Kelab Jerman itu tidak akan membiarkan Haaland berleluasa kerana kegagalan mengawal ketat pergerakan bintang Norway tersebut akan mendedahkan mereka kepada bahaya.
Haaland, 22, antara penyerang paling digeruni di dunia sepanjang dua setengah tahun bermain di Jerman apabila meledak 86 gol dalam 89 perlawanan untuk Dortmund.
Hanya tiga bulan menyertai City, dia sudah meledak dua 12 gol daripada enam perlawanan (semua pertandingan).
“Jumlah jaringannya bersama Manchester City dan ketika menyarung jersi pasukan lamanya sama hebat.
“Dia mempunyai naluri pemusnah tidak kira ketika bermain dengan pasukan mana sekali pun,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
Haaland meledak dua gol ketika membantu City membenam Sevilla 4-0 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara, minggu lalu, sekali mengumpul 25 jaringan di pentas elit Eropah.
Begitupun pengendali Dortmund, Edin Terzic sudah mempunyai perancangan untuk merantai Haaland.
Terzic dijangka menggunakan tiga pertahanan diketuai Mats Hummels, Niklas Sule dan Nuco Schlotterbeck untuk mengekang asakan ‘menggila’ City. – AGENSI