Portugal pamer aksi sempurna benam Czech

Portugal pamer aksi sempurna benam Czech

PEMAIN Portugal meraikan gol ketiga pasukan yang disempurnakan Diogo Dalot (kanan) ketika menumpaskan Republik Czech 4-0 dalam aksi Liga Negara-Negara di Prague.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRAGUE: Portugal hanya memerlukan satu lagi mata untuk mengesahkan tiket ke saingan playoff Liga Negara-Negara UEFA selepas dua gol Diogo Dalot membantu mereka membenam Republik Czech 4-0 di Prague awal pagi tadi.

Portugal yang menjuarai edisi pertama kejohanan pada 2019 kini menerajui Kumpulan 2 dengan 10 mata, dua mata mengatasi Sepanyol yang dimalukan Switzerland 0-1 di laman sendiri dalam satu lagi perlawanan.

Portugal akan menanti kedatangan Sepanyol dalam aksi terakhir kumpulan, Selasa ini bagi mengesahkan kemaraan.

Dalam aksi di Stadium Sinobo, Dalot membuka jaringan pasukan pelawat pada minit ke-33 apabila menewaskan penjaga gol Czech, Tomas Vaclik selepas menerima hantaran Rafael Leao.

Bruno Fernandes menggandakan kedudukan 2-0 pada waktu kecederaan babak pertama hasil hantaran Mario Rui dari sebelah kiri.

Seminit kemudian tuan rumah mensia-siakan sepakan penalti apabila tendangan Patrik Schick terkena palang selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan Cristiano Ronaldo dalam kotak penalti.

“Babak pertama sangat bagus, kami menunjukkan kualiti cemerlang.

“Kami memang sudah bersedia untuk berdepan Republik Czech dan tidak membenarkan mereka melakukan apa-apa.

“Apabila kami memperoleh gol kedua, Czech gagal menyempurnakan penalti dan mereka bertambah gementar. Kami pula terus fokus dan rasa selesa,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Tujuh minit selepas babak kedua bersambung, Dalot menambah derita tuan rumah dengan meledak gol ketiga Portugal, sebelum pemain gantian, Diogo Jota melengkapkan kemenangan 4-0 menerusi tandukan minit ke-82. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya