LONDON: Kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Shakira mengenai perpisahannya dengan Gerard Pique jelas tidak menyenangkan bintang bola sepak Sepanyol itu.
Walaupun kedua-duanya tidak mahu mendedahkan masalah dalaman keluarga, begitupun pendedahan Shakira dalam temu bual bersama majalah ELLE baru-baru ini memanaskan keadaan.
Dalam wawancara yang disiarkan pada 21 September lalu, Shakira, 45, mendedahkan perpisahan dengan Pique, 35, adalah ‘detik paling gelap dalam hidupnya’.
Media kemudian memainkan sentimen, ketika Shakira sedang berduka Pique pula berseronok dengan teman wanita baharunya, Clara Chia di Paris.
Sepanjang temu bual itu, selain membincangkan isu mengenai anak-anak, Shakira mendedahkan tentang gangguan media di Barcelona telah mempengaruhi keinginannya untuk berpindah ke Miami.
Pique menganggap bahawa dakwaan sedemikian bersifat membalas dendam dan percaya Shakira cuba bertindak seperti ‘mangsa keadaan’.

“Saya hanya boleh mengatakan bahawa saya meletakkan semua yang ada dalam hubungan ini dan dalam keluarga saya.
“Gerard, sebagai pemain bola sepak, mahu bermain bola sepak dan memenangi kejuaraan, dan saya terpaksa menyokongnya.
“Saya meletakkan kerjaya saya di belakang dan datang ke Sepanyol, supaya dia boleh bermain bola sepak dan memenangi gelaran. Semua ini kerana cinta.
“Dengan keputusan itu, anak-anak saya mendapat perhatian seorang ibu, dan saya mempunyai ikatan yang luar biasa dengan mereka,” kata penyanyi Colombia itu.
Menurut akhbar La Vanguardia, Pique berasa jengkel dengan kenyataan tersebut dan menganggap Shakira cuba menyalahkannya.
“Semua orang yang mengenali Gerard tahu, walaupun dia keluar untuk minum beberapa malam, ia atas urusan kerja dan dia sentiasa mengambil berat tentang keluarganya.
“Dia membawa anak-anaknya ke sekolah, aktiviti kokurikulum, melancong dan menghabiskan sepanjang masa bersama mereka apabila tidak bekerja,” lapor La Vanguardia yang memetik sumber rapat bintang Barcelona itu.
Bintang Barcelona tersebut dikatakan berang kerana Shakira menyifatkan dirinya sebagai orang yang berkorban demi menjaga anak-anak mereka dengan niat ‘menjadi contoh’ kepada anak-anak mereka.
Selepas 11 tahun menjalinkan hubungan, Pique dan Shakira mengumumkan perpisahan mereka pada Jun lalu.
Kedua-duanya kini berebut hak penjagaan anak, Milan, 9, dan Sasha yang berusia 7 tahun. – AGENSI