BANGI: Naib juara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Kedah hanya mampu seri tanpa jaringan berdepan Perlis pada aksi pertama Kumpulan D, Sukma 2022 di Stadium Universiti Tenaga Nasional (Uniten), sebentar tadi.
Reputasi dimiliki skuad bimbingan Mohd. Riduan Abdul Rahman nyata bukan halangan bagi pemain muda Singa Utara memberikan saingan sengit kepada lawan.
Aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan sebaik wisel ditiupkan pengadil dengan Kedah memiliki beberapa peluang berada didepan namun ketumpulan jentera serangan menghampakan finalis 2018 itu.
Babak kedua juga memperlihatkan aksi saling berbalas serangan namun tiada sebarang gol dihasilkan kedua-dua pasukan sehinggalah tamat masa perlawanan.
Bagi Kumpulan D hanya diisi tiga pasukan termasuklan Pulau Pinang yang akan turut pada aksi pertama menentang Perlis, Khamis ini.
Aksi kumpulan C yang berlangsung di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi membabitkan perlawanan Terengganu menentang Sabah juga berkesudahan dengan keputusan seri 2-2. – UTUSAN ONLINE