LONDON: Jurgen Klopp perlu melakukan beberapa keputusan penting dalam misi memastikan Liverpool bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Napoli minggu lalu apabila menerima kunjungan Ajax pada aksi kedua Kumpulan A, Liga Juara-Juara esok.
Bek kanan, Trent Alexander-Arnold dan pertahanan tengah, Joe Gomez mungkin diketepikan, manakala Darwin Nunez dijangka kembali dalam kesebelasan utama menggantikan Roberto Firmino yang tenggelam di Naples.
Klopp bernasib baik pertemuan Liverpool menentang Wolverhampton yang sepatutnya berlangsung Ahad lalu ditunda selepas Liga Perdana Inggeris membatalkan semua perlawanan hujung minggu lalu sebagai penghormatan kepada kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Selepas semuanya tidak menjadi ketika mereka dimalukan 4-1 oleh Napoli, pengendali dari Jerman itu perlu mencari formula yang mampu mengembalikan juara Eropah enam kali, Reds di landasan betul.

Selain menjaringkan satu gol ketika membantu Liverpool membelasah Bournemouth 9-0, Alexander-Arnold , 23, tampak tenggelam dalam enam perlawanan lain tanpa melakukan gerakan jaringan atau gol, malah agak bergelut dalam situasi bola mati.
Prestasi buruknya juga membawa kepada gol kedua Napoli, malah Gomez juga melakukan beberapa kesilapan yang mengundang padah hingga menyebabkan Reds ketinggalan 3-0 pada babak pertama dalam perlawanan itu,
Joel Matip dijangka kembali bergandingan dengan Virgil van Dijk di posisi bek tengah, namun siapa bakal mengisi tempat Alexander-Arnold masih dalam bayangan Klopp.

Satu lagi keputusan besar yang perlu diambil oleh Klopp sama ada kembali menyenaraikan Nunez dalam kesebelasan utama selepas dia dimasukkan dari bangku simpanan ketika bertemu Napoli.
Dibeli pada harga 85 juta pound (RM) dari Benfica musim panas lalu, Nunez belum menyerlahkan kehebatannya bersama Reds, namun penyerang Uruguay itu jelas memiliki sentuhan yang mampu membantu pasukan dengan ketinggian serta kepantasan dimiliki.
Klopp juga dijangka terpaksa mengetepikan pemain remaja sedang meningkat, Harvey Elliott bagi membawa masuk Thiago Alcantara yang lebih berpengalaman untuk mengetuai bahagian tengah.

Thiago tidak beraksi sejak Liverpool seri 2-2 dengan Fulham, 6 Ogos lalu, namun dibawa masuk pada baki 27 minit permainan menentang Napoli.
Ketua pasukan, Jordan Henderson dan Naby Keita masih belum dapat diturunkan, bermakna James Milner mungkin bergandingan bersama Fabinho serta Thiago di bahagian tengah.
Ajax pula membuka kempen Eropah dengan membelasah Rangers 4-0 dan bersedia untuk meneruskan momentum apabila bertandang ke Anfield. – AGENSI