Kekalahan Melaka United undang simpati penyokong

Kekalahan Melaka United undang simpati penyokong

MAHMOUD Nayef Ahmad Almardi (tengah) meraikan gol ketiga Kedah ketika menumpaskan Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput kelmarin. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebanyakan pasukan pasti akan dikecam jika mengalami kekalahan buruk, apatah lagi kalah tiga perlawanan berturut-turut.

Begitupun, pemain Melaka United yang tumpas 0-3 kepada Kedah dalam aksi Liga Super di tempat sendiri kelmarin me­ngundang simpati penyokong mereka yang menyedari pasukan itu beraksi dalam situasi tiga bulan tidak menerima gaji.

Pemangku Ketua Jurulatih Melaka, Mohd. Asri Ninggal mengakui, tiga kekalahan berturut-turut amat mengecewakan, namun enggan menyalahkan pemain sepenuhnya.

BEK kiri Kedah, Azmeer Aris Nor Rashid (bawah) menghalang kemaraan pemain Melaka, Fauzan Mohd. Fauzi dalam perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

“Bukan mudah untuk terima kenyataan kekalahan ketiga berturut-turut tetapi pemain telah cuba yang terbaik dan akhirnya inilah keputusannya.

“Bagaimanapun kredit kepada pemain kerana kita beraksi tanpa kekuatan sebenar. Mereka yang diturunkan tetap memberi yang terbaik biarpun tidak mencatat keputusan diharapkan.

“Saya tidak mempertikaikan pemain kerana kita dah beri yang terbaik walaupun gagal meraih sekurang-kurangnya satu mata.

“Kami memiliki pemain muda yang baik tetapi kurang kreativiti di barisan tengah dan hadapan berikutan tanpa pemain utama menyebabkan usaha pasukan untuk meraih mata tidak berjaya,” katanya.

Ini kekalahan ketiga berturut-turut buat Sang Kancil selepas dibelasah 5-0 oleh Terengganu FC pada 3 September lalu dan tumpas 4-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketiadaan empat tonggak import, Ifedayo Olusegun, Sony Norde, Emmanuel Oti dan Adria­no Narcizo akibat kecede­raan menyukarkan lagi ke­adaan.

Khamis lalu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan, Melaka United berdepan tunggakan gaji pemain yang mema­suki tiga bulan dan mahu mereka segera menyelesaikan kemelut tersebut.

Menjengah ke ruangan komen dalam Facebook rasmi kelab, rata-rata penyokong tidak menyalahkan pemain, sebalik­nya bersimpati dengan mereka.

“Kalah buat pentadbir bukan jurulatih dan pemain,” tulis pemilik akaun, Yusri Mohamad.

“Jurulatih sudah buat yang terbaik. Jika pemain hadapi masalah berterus teranglah, tidak perlu tunjuk di padang…Kami datang kerana jiwa bola sepak dan ja­ngan jadikan kami boneka,” kata Gobinathan Perumal.

“Bukan mudah hendak menang jika kami bermain berpandukan kerja amal. Kami dah cuba seikhlasnya,” sindir Nur Amin Asnol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN