KOTA BHARU: Mengesahkan sudah menerima surat saman daripada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kini bekerja keras untuk mencari dana bagi melunaskan hutang.
Setiausaha Agung Kafa, Husin Deraman berkata, saman tersebut melibatkan seluruh barisan kepimpinan yang menerajui badan itu ketika ini.
“Untuk makluman Kafa sedang berusaha mencari dana bagi melunaskan bayaran tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengesahkan beliau telah memfailkan saman terhadap Kafa ekoran kegagalan melunaskan hutang RM3.93 juta.
Zamsaham pada awalnya memilih untuk mengunci mulut, namun selepas sering ditanya mengenai perkara itu beliau terpaksa mendedahkan kebenaran.
“Saya sebenarnya nak diamkan sahaja…tapi selepas ramai yang tanya maka memang benar saya saman Kafa kerana gagal membayar hutang sebanyak RM3.93 juta.
“Asalnya hutang RM3.8 juta, namun naik sebab Kafa minta tambahan pinjaman. Tetapi setakat hari ini satu sen pun belum pulang ke saya,” katanya dalam Facebook.
Zamsaham sebelum ini dilaporkan membayar RM6.8 juta ketika proses mengambil alih pasukan TRW daripada Kafa pada September 2020.
Menurut laporan, jumlah itu membabitkan RM3 juta bagi pembelian Kelantan FC dan RM3.8 juta lagi adalah pinjaman kepada Kafa bagi menyelesaikan hutang kepada pemain dan agensi tertentu.