PETALING JAYA: Jaringan Saddil Ramdani, lima minit sebelum tamat perlawanan memastikan Sabah terselamat dikalahkan Kuala Lumpur City (KL City) di depan penyokong sendiri apabila seri 2-2 dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.
Skuad Sang Badak dipaksa berhempas pulas dan bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk mengutip satu mata berharga di Stadium Likas.
KL City bertandang ke tempat lawan tanpa kehadiran peledak utama mereka, Romel Morales yang mengalami kecederaan, namun tugas itu digalas dengan baik oleh penyerang tempatan, Hadin Azman dan Haqimi Azim Rosli.
Skuad kendalian Bojan Hodak tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila memerlukan empat minit sahaja untuk pemain pertahanan, Giancarlo Gallifuoco menanduk masuk bola ke gawang Sabah hasil sepakan percuma yang diambil ketua pasukan, Paolo Josue.

Sabah mencuba untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil, selepas dua minit perlawanan kembali dilangsungkan di babak kedua apabila pemain pertahanan, Dominic Tan membuat rembatan kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol KL City, Kevin Mendoza menjadikan kedudukan 1-1.
KL City sekali lagi membuktikan mereka amat berbahaya dalam situasi bola mati apabila sepakan yang diambil Paolo Josue pada minit ke-61 disudahkan Akram Mahinan untuk meletakkan skuad warga kota itu kembali dihadapan dengan kedudukan 2-1.
KEDUDUKAN LIGA SUPER
Sabah membalas dengan percubaan jarak jauh Saddil pada minit ke 66, namun rembatan deras itu berjaya ditepis Mendoza.
Bagaimanapun Saddil menebus kekecewaan itu apabila sepakan percumanya pada minit ke 85 berjaya menerjah jaring untuk menggamatkan penonton di Stadium Likas dengan kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat wisel permainan.
Keputusan ini tidak mengubah kedudukan Sabah untuk kekal di tangga kedua liga dengan 36 mata, manakala KL City pula berada di tangga kelima liga dengan 22 mata.