Jadikan Sukma pentas cipta nama - PM

Jadikan Sukma pentas cipta nama – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (empat kiri) merasmikan upacara pembukaan Sukan Malaysia XX MSN di Dewan Canselor Tunku Abdul Razak Universiti, UKM malam ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, komitmen kerajaan terhadap Sukan Malaysia (Sukma) seharusnya disambut semua pihak, bermula daripada atlet muda untuk memanfaatkan setiap peluang demi kemajuan sukan negara.

Sambil melahirkan rasa penghargaan kepada semua kerajaan negeri dan persatuan sukan kerana memupuk dan mencambahkan perpaduan menerusi sukan, beliau memberitahu, perbezaan politik juga harus diketepikan demi meletakkan kejayaan lebih besar kepada Keluarga Malaysia.

“Sehubungan itu, saya meminta atlet muda yang bermula di pentas Sukma supaya bangkit membuktikan kejaguhan dalam langkah pertama mereka, seterusnya membawa cabaran negara di Sukan SEA Kemboja tahun depan, Sukan Asia Hangzhou dan Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ia juga bagi meneruskan kesinambungan atlet negara tahun ini yang melepasi sasaran 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa di Sukan SEA Vietnam, dan 7 emas, 8 perak dan 8 gangsa di Sukan Komanwel Birmingham, Julai lalu.

“Selain detik membanggakan apabila pasangan beregu badminton lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul juara dunia,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Sukma ke-20 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, malam ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

Sukma ke-20 dianjurkan semula dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah selepas temasya dwi tahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 di Johor kerana wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pada temasya kali ini, sebanyak 15 kontinjen negeri termasuk Brunei mengambil bahagian dalam 31 jenis sukan dengan 426 pingat emas dipertandingkan, membabitkan 223 acara lelaki dan 184 acara wanita.

Dalam temasya yang bermula sejak 29 September hingga 8 Oktober itu, olahraga menawarkan 44 pingat emas iaitu cabang sukan paling banyak, diikuti akuatik yang menawarkan 43 emas.

BEKAS ratu boling negara, Shalin Zulkifli menyalakan obor simbolik upacara pembukaan Sukma XX MSN di UKM, Bangi malam ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Ismail menjelaskan, kerajaan memberi jaminan akan terus meningkatkan kerancakan arena sukan negara termasuk memberi sokongan padu terhadap Program Podium bagi merealisasikan kilauan emas di Sukan Olimpik.

Menurutnya, peruntukan kewangan sebanyak RM240 juta sudah ditunaikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

“Oleh itu, atlet tidak perlu bimbang dan tumpuan harus diberikan sepenuhnya untuk mengharumkan nama negara.

“Kerajaan juga sentiasa menyokong usaha dan inisiatif untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan pertandingan sukan bertaraf tinggi, bukan sahaja untuk menggalakkan sektor industri sukan, tetapi juga menyediakan platform lebih kompetitif kepada atlet negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya