MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola percaya, Erling Haaland bakal memahat sejarah dan memecah lebih banyak rekod selepas bintang Norway itu meledak hatrik kedua berturut-turut semalam.
Haaland, 22, menjadi pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama meledak sembilan gol dalam lima penampilan sulung.
Dia jelas bersedia mencabar rekod jaringan tertinggi semusim yang dipegang Andy Cole dan Alan Shearer – 34 gol.
Tiga gol yang dihasilkan semalam membantu City membenam Nottingham Forest 6-0, dan ia hadir empat hari selepas dia turut melakar hatrik ketika menentang Crystal Palace.

“Sergio (Aguero) adalah legenda kelab dan tiada siapa boleh mengambil tempatnya di hati penyokong City. Dia menjaringkan banyak gol penting dalam sejarah bola sepak moden.
“Erling mempunyai kualiti untuk mengikut jejak tersebut. Ia bukan perbandingan di antara dia atau Sergio. Apa yang dilakukan Sergio sangat menakjubkan tapi Erling memiliki bakat hebat.
“Apabila City membeli Erling, semua orang tahu apa yang telah dilakukannya sebelum ini. Kami akan membantunya meledak lebih banyak gol,” kata Guardiola.
Biarpun Liga Perdana baru peringkat awal, namun melihat perkembangan terkini, hanya kecederaan mampu menyekat Haaland daripada memenangi anugerah Kasut Emas EPL.
The goal that sealed a second hat-trick in two matches! ⚽⚽⚽@ErlingHaaland | #ManCity pic.twitter.com/qE6tyYPVk5
— Manchester City (@ManCity) August 31, 2022
Sementara itu, Michael Owen memberi amaran bahawa Haaland akan memecah setiap rekod jaringan yang ada jika kekal cergas.
“Saya ulangi, pemain ini akan memecah setiap rekod jaringan yang ada.
“Dia terlalu besar, pantas, klinikal di depan gawang dan bermain untuk pasukan yang mencipta banyak peluang.
“Apa yang dia perlukan hanya kekal cergas,” kata bekas penyerang England, Liverpool, Manchester United dan Real Madrid itu.
Haaland yang dilahirkan di Leeds telah meledak 165 gol dalam 206 penampilan bersama skuad senior, termasuk 20 gol Liga Juara-Juara dalam 14 kemunculan. – AGENSI