KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan ditemukan maut selepas dipercayai terjun dari bangunan tingkat 11 di salah sebuah hotel di Tanjung Aru, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan awal berhubung kejadian berkenaan pukul 3.07 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati, seorang juruteknik yang sedang bertugas di bangunan berkenaan menyedari satu objek disyaki manusia terjatuh dari tingkat atas bangunan melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).
“Pemeriksaan yang dilakukan di hadapan bangunan itu kemudiannya menemukan seorang lelaki terbaring di atas jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pasukan ambulans dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Hasil semakan rakaman CCTV mendapati mangsa telah memasuki sebuah unit di tingkat 11 bangunan berkenaan sebelum kejadian berlaku,” ujarnya.
Jelasnya, pemeriksaan awal fizikal oleh pasukan forensik mendapati kecederaan yang dialami mangsa adalah konsisten dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi dan tiada sebarang kecederaan luaran mencurigakan ditemukan pada tubuh badan si mati.-UTUSAN










