LIVERPOOL: Enam hari selepas dimalukan 4-1 oleh Napoli, Liverpool hampir diikat di Anfield, namun tandukan Joel Matip pada minit ke-89 memastikan Reds melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara sebentar tadi.
Anak-anak buah Jurgen Klopp yang hanya menang dua daripada tujuh perlawanan pertama mereka musim ini (semua pertandingan) mempamer aksi garang dengan melancarkan serangan bertali arus di depan penyokong sendiri.
Liverpool menunjukkan kesungguhan untuk memburu kemenangan sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan dan Mohamed Salah meletakkan mereka di landasan terbaik dengan meledak gol pembukaan pada minit ke-17 selepas menyudahkan hantaran Diogo Jota.

Keghairahan Reds memburu gol menyebabkan pertahanan mereka terdedah, dan pada minit ke-27, Trent Alexander-Arnold gagal mengawasi pemain lawan, Steven Berguis yang kemudian menghantar bola untuk disudahkan Mohammed Kudus bagi menjadikan kedudukan 1-1.
Jota, Luis Diaz dan Salah masing-masing mempunyai peluang baik untuk menambah jaringan, manakala Thiago Alcantara menjadikan bahagian tengah Liverpool lebih ‘hidup’ berbanding dalam perlawanan-perlawanan terdahulu.
Begitupun kecekapan penjaga gol Ajax, Remko Pasveer dan ketiadaan penyudah yang tajam menafikan peluang tuan rumah untuk menembusi gawang lawan dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Pada separuh masa kedua, Klopp melakukan beberapa pertukaran, termasuk menggantikan Jota dengan Darwin Nunez, selain turut membawa masuk Roberto Firmino serta James Milner.
Keputusan Klopp meletakkan empat penyerang pada mulanya hampir memakan diri apabila Ajax melakukan serangan balas, namun tadukan Daley Blind sedikit tersasar dari pintu gol.
Begitupun kecuali percubaan Blind, tidak banyak ancaman dilakukan Ajax, sebaliknya Liverpool terus mengatur asakan bertubi-tubi tetapi dinafikan oleh Pasveer.

Ketika penyokong Liverpool semakin resah memikirkan perlawanan akan berakhir seri, Matip muncul wira apabila menanduk bola hasil sepakan penjuru Kostas Tsimikas untuk mengutip tiga mata berharga.
Pemain dan penyokong tuan rumah bagaimanapun terpaksa menunggu beberapa saat sebelum pengadil mengesahkan bola benar-benar melepasi garisan gol.
Liverpool kini berkongsi tiga mata dengan Napoli yang akan menentang Rangers dalam perlawanan kedua Kumpulan A, esok. – AGENSI