fbpx

Goh Jin Wei tarik diri dari Sukma 2022

GOH JIN WEI

PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat bekas ratu perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) kali ini tidak kesampaian apabila dia membuat keputusan tidak bertanding dalam acara badminton yang akan bermula hari ini sehingga 24 September di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Perkara ini disahkan oleh pengurus pasukan badminton Pulau Pinang, Razlan Rajan Abdullah yang menjelaskan Jin Wei menarik diri kerana ingin menyertai Kejohanan Antarabangsa Chattisgarsh di India yang berlangsung serentak dengan acara badminton di Sukma.

Ia sekaligus merentap peluang Pulau Mutiara yang sebelum ini mensasarkan pingat emas bagi acara perseorangan wanita.

“Kami dah cuba sedaya upaya kami, termasuk meminta Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Yang Berhormat Soon Lip Chee untuk memujuk Jin Wei, tetapi dia masih tetap dengan pendiriannya, kerana menurut dia mempunyai komitmen dengan pihak penajanya, jadi kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenai perkara itu.

“Kami akui keputusan diambil Jin Wei amat pahit tetapi kami terpaksa meneruskan perancangan kami, cuma kami terpaksa ubah sasaran kami daripada pingat emas berkemungkinan kepada pingat perak atau gangsa, dengan harapan kini kepada beregu campuran atau lelaki,” jelas Razlan.

Jin Wei pernah mencipta sensasi apabila menjadi pemain termuda memenangi pingat emas dalam acara badminton perseorangan wanita ketika edisi 2014 di Perlis menewaskan pemain Selangor, Yang Li Lian.

Begitupun, Razlan menyifatkan pasukannya adalah sebagai ‘underdog’ jika dibandingkan dengan negeri lain, biarpun Pulau Pinang turut membariskan berapa pemain kebangsaan antaranya Lee Shun Yang dan Ong Zhen Yi yang baru sahaja memenangi Terbuka Benin tempohari.

“Kami mengharapkan undian esok (hari ini) akan memihak kepada kami, dan daripada situ baru kami boleh mencongak peluang kami untuk edisi kali ini.

“Biarpun tanpa Jin Wei, saya masih percaya kami boleh mencipta kejutan, kerana ia bukannya mustahil,” tambah Razlan yang jelaskan pemenang pingat emas untuk kontinjen Pulau Pinang di Sukma kali ini akan diberikan ganjaran sebanyak RM 3,000.- UTUSAN

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN