Giroud intai tempat dalam skuad Piala Dunia 2022

Giroud intai tempat dalam skuad Piala Dunia 2022

OLIVIER Giroud (tengah) menewaskan penjaga gol Austria ketika membantu Perancis menang 2-0 dalam saingan Liga Negara-Negara di Stade de France, Paris semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Olivier Giroud teruja kembali menyarung jersi ­Pe­rancis dan menegaskan, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk pasukan selepas meledak satu gol ketika Les Bleus me­numpaskan Austria 2-0 dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah semalam.

Jaringan Kylian Mbappe dan Giroud di Stade de France menghidupkan peluang Perancis untuk kekal dalam divisyen utama, sekali gus membolehkan juara dunia itu naik ke tangga ketiga Kumpulan 1.

Perancis yang menjuarai Liga Negara-Negara tahun lalu kini akan bertandang ke Denmark dalam aksi terakhir Kumpulan 1, Isnin ini untuk sekurang-kurangnya kekal di tangga ketiga, sekali gus mengelak tersingkir ke Liga B.

“Saya seorang pemain pasukan, yang bermain secara kolektif, berada di belakang kumpulan dan semua penyerang.

“Apabila Karim (Benzema) menjaringkan gol dalam Euro (Kejohanan Eropah), saya orang pertama mengucapkan tahniah, melompat atas bahunya.

“Cara saya berfikir tidak pernah berubah, motivasi sama, keazaman saya juga sama. Selepas itu, jurulatih akan membuat keputusan,” kata Giroud.

Giroud, 36, kembali dipanggil dalam skuad kebangsaan sejak Jun tahun lalu selepas mempamer aksi baik bersama AC Milan.

Bekas bintang Arsenal dan Chelsea itu berharap untuk mendapat tempat dalam skuad Perancis pada Piala Dunia 2022 di Qatar, biarpun kehadirannya ketika ini adalah bagi mengisi ketiadaan Benzema akibat kecederaan.

“Saya kembali untuk me­nguatkan pasukan dan bersedia melakukan yang terbaik setiap kali dipanggil.

“Sekalipun hanya diletak di bangku simpanan, saya akan pastikan saya sentiasa bersedia untuk pasukan. Saya tidak pernah membuat kacau dalam bilik persalinan,” katanya.

Kemenangan ke atas Austria bagaimanapun dibayar dengan harga mahal apabila bek tengah, Jules Kounde dan penjaga gol, Mike Maignan mengalami kecederaan.

Mbappe memecah kebuntuan selepas menumpaskan lima pertahanan lawan, sebelum menyudahkan hantaran sempurna Giroud di minit ke-56.

Giroud menemui sasaran pada minit ke-65 selepas me­nerima hantaran lintang Antoine Griezmann untuk gol antarabangsa ke-49, hanya kurang dua daripada rekod terbanyak yang dilakarkan Thierry Henry.

Giroud 70 hari lebih tua berbanding Roger Marche yang meledak jaringan untuk Perancis ketika menentang Sepanyol pada 1959. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.