PUTRAJAYA: Jackson Chambai Ikeh sering bergaduh di sekolah, dan boleh dikatakan bergaduh adalah hobinya.
Bagaimanapun, daripada hobi yang ‘teruk’ itu, dia memupuk minat dan mengembangkan kemahirannya dalam tinju hingga berjaya memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 hari ini.
Berusia 21 tahun, Jackson memenangi acara flyweight (48 hingga 51 kilogram) lelaki di Kompleks Futsal Malaysia, Putrajaya.
“Semasa di sekolah, saya selalu bergaduh. Saya jenis darah panas dan suka mencari gaduh. Kemudian saya sedar bahawa pergaduhan di sekolah adalah membuang masa dan jadi saya mengambil bahagian dalam tinju.
“Pada 2013, saya mula berlatih di bawah jurulatih pertama saya Joseph Harry,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas mengenai pertarungan itu, Jackson yang menjadikan petinju Kazakhstan, Gennady Golovkin sebagai idolanya berkata, strateginya ialah melancarkan serangan balas terhadap lawannya.
“Saya gembira dengan pusingan pertama tetapi pusingan kedua tidak memuaskan kerana lawan saya terpaksa memeluk saya, menghalang saya daripada melancarkan sebarang serangan,” katanya.
Terdahulu, Jackson mempamer gerakan pantas untuk menundukkan pencabar dari Wilayah Persekutuan, Mohamad Hakimi Sumadi 5-0 sebelum merangkul emas. – UTUSAN ONLINE