MUNICH: Kepulangan Robert Lewandowski ke Jerman tidak seindah diharapkan apabila Barcelona tumpas 2-0 kepada bekas pasukannya, Bayern Munich dalam saingan Kumpulan C, Liga Juara-Juara sebentar tadi.
Dua gol dalam tempoh empat minit pada babak kedua, termasuk lambungan cantik Leroy Sane memastikan Bayern meraih tiga mata berharga di laman sendiri.
Tandukan pemain pertahanan, Lucas Hernandez meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-50 sebelum Sane ‘membunuh’ semangat juang Barcelona dengan menggandakan kedudukan, empat minit berselang.
Ini kemenangan kedua berturut-turut buat Bayern selepas menumpaskan gergasi Itali, Inter Milan 2-0 minggu lalu, sekali gus membolehkan mereka mengungguli Kumpulan C.

Lewandowski yang diberi tepukan gemuruh oleh penyokong di Allianz Arena memiliki beberapa peluang untuk membuka jaringan, namun gagal menemui penyudah.
“Saya fikir, Lewy (Lewandowski) agak beremosi apabila kembali ke sini kerana sangat cemerlang sepanjang beraksi bersama kami.
“Tuah jelas tidak memihak kepada pasukannya, sebaliknya milik kami.
“Dia melakukan voli cantik (minit ke-19) dan kami bernasib baik bola sedikit tersasar dari pintu gol tetapi saya fikir, secara keseluruhan kami menunjukkan pertahanan yang bagus,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer kepada Amazon Prime.

Lewandowski menerima hantaran cantik daripada Pedri pada minit ke-19 tetapi tendangannya melepasi palang.
Seminit kemudian, penyerang Poland itu sekali lagi berpeluang meletakkan Barca di depan apabila hanya berada beberapa meter dari pintu gol lawan, namun tandukannya diselamatkan oleh Neuer.
Bayern akan bertandang ke Camp Nou untuk aksi timbal balik pada 26 Oktober. – AGENSI