fbpx

Alonso minta maaf panggil Hamilton bodoh

INSIDEN di Litar Spa-Francorchamps, Stavelot, minggu lalu yang menyaksikan Lewis Hamilton (kanan) melanggar kereta Fernando Alonso dalam Grand Prix Belgium.

ZANDVOORT: Fernando Alonso melawat pasukan Mercedes semalam untuk me­minta maaf kepada Lewis Hamilton kerana menggelar juara Formula Satu (F1) dunia tujuh kali itu ‘bodoh’ selepas kemalangan di Grand Prix (GP) Belgium, Ahad lalu.

Selepas kemalangan itu, Alonso yang berang kerana dilanggar pada pusingan pertama membe­ritahu pasukannya menerusi radio bahawa Hamilton hanya tahu melanggar daripada memandu.

Biarpun menerima kecaman, Hamilton berkata, dia bertanggungjawab atas insiden itu dan mengakui kesalahannya.

Bagaimanapun pemandu ­Britain tersebut tidak dikenakan sebarang hukuman oleh pengarah perlumbaan kerana insiden berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘kemalangan biasa dalam ­perlumbaan’.

LEWIS HAMILTON

Dalam sidang akhbar menjelang GP Belanda esok, Alonso mendedahkan, dia turut memohon maaf secara peribadi kepada Hamilton ketika semua pelumba berkumpul ­untuk satu program televisyen.

Katanya, perkara itu tidak dirancang dan dia memanggil Hamilton beberapa minit sebelum mereka bersiaran.

Alonso yang memandu untuk pasukan Alpine-Renault turut meminta topi yang ditandata­ngani Hamilton bersama tulisan: “Untuk Fernando”.

“Semua yang saya katakan tentang Lewis tidak benar, saya langsung tiada masalah dan dia seorang yang hebat. Saya sa­ngat menghormatinya. Dia juara, ­legenda pada zaman kami.

FERNANDO ALONSO

“Apabila anda mengatakan sesuatu tentang pemandu Britain (Hamilton), media akan memberi liputan meluas tetapi jika anda bercakap perkara yang sama terhadap pemandu Latin, semuanya dianggap menyeronokkan.

“Apa pun, saya tetap meminta maaf.

“Keadaan ketika itu ‘panas’, kami berjuang untuk kedudukan dua teratas dan ia mendorong saya mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya,” kata Alonso. – AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN