ISTANBUL: Manchester United diletak dalam satu kumpulan bersama Real Sociedad, manakala Arsenal perlu berdepan PSV Eindhoven di peringkat awal dalam saingan Liga Europa.
Dalam undian yang dilakukan di Istanbul hari ini, juara Europa 2017, United turut diletak dalam Kumpulan E bersama wakil Moldova, Sheriff Tiraspol serta kelab Cyprus, Omonoia.
Arsenal yang berada pada prestasi terbaik ketika ini akan mengetuai Kumpulan A bersama Eindhoven, Bodo/Glimt dan FC Zurich.
Juara Liga Konferensi, AS Roma pula diundi bersama Ludogorets, Real Betis dan HJK Helsinki dalam Kumpulan C.
Juara peringkat kumpulan yang akan membuka tirai pada 8 September bakal melangkah ke pusingan 16 akhir, Februari tahun depan.
Naib juara pula layak ke saingan playoff kalah mati berdepan salah satu daripada lapan pasukan yang menduduki tempat ketiga dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Pasukan tempat ketiga dalam kumpulan Liga Europa akan beraksi di Liga Konferens Europa di mana mereka akan menentang naib juara kejohanan itu dalam aksi playoff kalah mati.
Perlawanan akhir Liga Europa berlangsung di Arena Puskas, Budapest pada 31 Mei tahun depan. – AGENSI