PETALING JAYA: Sri Pahang yang berada dalam prestasi terbaik mahu menjadikan Melaka United sebagai mangsa apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Sejak di bawah kendalian Datuk Dollah Salleh sebagai pemangku jurulatih menggantikan Christophe Gamel, skuad Tok Gajah berjaya melakar tiga kemenangan berturut-turut bermula 27 Julai lalu ke atas Selangor, Kedah dan Petaling Jaya City (PJ City).
Sepanjang tiga perlawanan tersebut, jentera serangan Sri Pahang telah menghasilkan tujuh gol dan lebih menarik benteng pertahanan cukup utuh apabila tidak dibolosi sekali gus memberi amaran kepada Melaka United.

Hakikat itu diakui pertahanan Melaka United, Mohd. Fadhli Shas, dan melabelkan Sri Pahang sebagai sebuah pasukan berbeza sejak di bawah bekas jurulatih kebangsaan tersebut.
“Walaupun bermain di laman sendiri, saya tidak fikir kami ada kelebihan besar memandangkan Sri Pahang sedang lalui fasa terbaik apabila menang dalam tiga perlawanan terakhir.
“Memang perlawanan ini sangat getir dan kami perlu memanfaatkan sahaja peluang serta ruang malah tidak boleh lakukan banyak kesilapan kerana jentera serangan Sri Pahang begitu berbahaya.
“Saya juga mengenali kekuatan dimiliki Dollah kerana pernah bekerja dengannya semasa bersama pasukan kebangsaan satu ketika dahulu, beliau sangat pandai membangkitkan semangat pemain-pemain.
“Namun Melaka United tidak boleh terlalu gentar dengan Sri Pahang kerana kami juga ada kelebihan tersendiri serta ada pamerkan banyak peningkatan kebelakangan ini, cuma ada kalanya keputusan tidak sebelahi pasukan,” katanya.
Sejak diambil Dollah, Sri Pahang hanya tewas 2-5 kepada Penang di suku akhir Piala FA. – UTUSAN ONLINE