PETALING JAYA: Ketua jurulatih sementara Selangor FC, Mohd. Nidzam Jamil tidak menyalahkan penyokong yang menaikkan kain rentang untuk melepaskan geram gara-gara prestasi pasukan yang terus merudum.
Kelmarin, keadaan Selangor semakin buruk apabila tumpas 0-2 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Petaling Jaya.
Kekalahan keenam daripada 14 perlawanan itu meletakkan Red Giants di tangga kesembilan liga, kedudukan yang membuatkan penyokong hilang sabar.
Menyifatkan setiap orang mempunyai hak menyuarakan pandangan, Nidzam mahu semua pihak bersatu menghadapi situasi sukar.
“Setiap tindakan dan keputusan akan menerima reaksi berbeza dari semua pihak. Tindak balas penyokong menunjukkan yang kita tidak memberikan keputusan yang baik.
“Terpulang kepada pemain, pe ngurusan untuk duduk bersama bukan berpecah belah bagi dapatkan keputusan yang baik.
“Saya tak salahkan penyokong, itu reaksi terhadap keputusan perlawanan dari Selangor dan saya 100 peratus faham,” katanya.
Sebelum perlawanan, Ultras Selangor menaikkan kain rentang ‘Kota Rom tidak dibina dengan kebodohan’.
Sebelum ini kata-kata semangat ‘Ayuh ke pentas Asia’ dilontarkan semasa saingan Piala FA, namun impian tersebut terkubur selepas mereka tewas kepada Terengganu di separuh akhir Piala FA.