LONDON: Cristiano Ronaldo terdesak untuk menyertai Borussia Dortmund ketika khabar angin dia mahu meninggalkan Manchester United berlarutan.
Kapten Portugal itu masih berharap untuk meninggalkan Old Trafford sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup pada 1 September ini.
Setakat ini ejennya, Jorge Mendes gagal mencari kelab yang sesuai untuk penyerang berusia 37 tahun itu.
Ronaldo terdesak untuk terus bermain dalam Liga Juara-Juara dan akhbar Jerman, BILD mendakwa, Dortmund kini menjadi sasaran baru pemenang Ballon d’Or lima kali itu.
Menurut BILD, Mendes sudah menawarkan Ronaldo kepada Dortmund tetapi tidak menerima sambutan menggalakkan.

Dortmund dikatakan tidak berminat mendapatkan Ronaldo walaupun pengurus mereka, Edin Terzic kehilangan bintangnya, Sebastien Haller di awal musim selepas penyerang Perancis itu disahkan menghidap tumor testis.
Ronaldo benar-benar mahu menyertai Dortmund kerana gergasi Bundesliga itu beraksi dalam Liga Juara-Juara musim ini, selain mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring gol terbanyak Eropah.
United menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim lalu di tangga keenam, sekali gus hanya akan beraksi dalam kejohanan kelas kedua Eropah, Liga Europa.
Misi pengurus baharu mereka, Erik ten Hag untuk memulihkan kelab juga tampak sukar ketika ini selepas Red Devils kalah dua aksi pertama liga. – AGENSI