Red Devils sedia untuk ‘mengganas’

Red Devils sedia untuk ‘mengganas’

JADON Sancho (tengah) meraikan jaringan Manchester United ketika menumpaskan Liverpool 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Manchester semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Erik ten Hag percaya, kejayaan mengejutkan musuh tradisi, Liverpool 2-1 semalam adalah permulaan kepada kebangkitan Red ­Devils.

Ten Hag melakukan empat pertukaran, termasuk merehatkan Cristiano Ronaldo serta Harry Maguire daripada kese­belasan utama.

United mempamer aksi berbeza berbanding ketika kalah dua perlawanan pembukaan liga, malah membuktikan mereka sudah bersedia untuk memberi cabaran serius.

Jaringan Jadon Sancho pada minit ke-16 dan Marcus Rashford minit ke-53 memberi keceriaan buat United sebelum Liverpool cuba bangkit menerusi gol lewat permainan Mohamed Salah.

ERIK ten Hag (kanan) bersalaman dengan Jurgen Klopp sejurus tamat perlawanan di Old Trafford.

“Saya mahukan pendekatan berlainan untuk perlawanan ini dan pastinya saya mahukan sikap berbeza dipamerkan semua pemain.

“Mereka berjaya menampilkan apa yang dituntut, saya amat berpuas hati tetapi ini hanyalah permulaan.

“Saya rasa ini persembahan yang cukup bagus daripada pertahanan kami, begitu juga penjaga gol,” kata pengendali baharu Red Devils itu.

Kejayaan menumpaskan ­Liverpool dilakar ketika United belum pun mengumpulkan kekuatan sebenar.

CASEMIRO bergambar bersama jersi Manchester United ketika diperkenalkan kepada penyokong sebelum perlawanan di antara United menentang Liverpool. – AFP

Kemenangan hadir pada hari yang sama United menandatangani bintang tengah Brazil, Casemiro dengan perpindahan bernilai 70 juta pound (RM369 juta) dari Real Madrid.

Keputusan itu turut me­yakinkan bintang sayap Ajax, Antony untuk menyertai Red Devils musim ini.

“Hari ini (semalam) kami berjaya, namun ini hanyalah permulaan dan kini kami perlu berusaha untuk terus mendaki,” jelas Ten Hag. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN