PETALING JAYA: Kejayaan menumpaskan Negeri Sembilan FC 1-0 dalam aksi Liga Super kelmarin amat bermakna buat Kuala Lumpur City (KL City) bagi membina keyakinan menjelang final Zon ASEAN Piala AFC menentang PSM Makassar, Rabu depan.
Bakal menanti kunjungan PSM Makassar di Stadium Bola Sepak Cheras, pengendali The City Boys, Bojan Hodak menyifatkan kemenangan ke atas pasukan tangga ketiga liga, menjadi pemangkin semangat buat KL City.
“Kemenangan ini sangat penting untuk membina keyakinan kami menjelang perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC.
“Mereka sekarang bukanlah pasukan sama yang kami tentang ketika di peringkat kumpulan. Mereka berada di tangga tiga teratas Liga 1 Indonesia,” ujar Hodak.
Mengulas aksi KL City ketika menang tipis ke atas Negeri Sembilan, Hodak mengakui, lawan mereka pasukan yang sangat liat.
“Seperti yang saya jangkakan, ia perlawanan yang menarik. Keadaan padang kurang baik dan bola melantun.
“Negeri Sembilan bermain baik pada awal babak pertama tetapi kami bangkit dan menjaringkan gol selepas itu.
“Kami seharusnya menghabiskan perlawanan lebih awal di babak kedua tapi gagal menambah jaringan,” kata Hodak.