NEW YORK: Pemilik tiga gelaran Grand Slam, Angelique Kerber mengumumkan dia sedang hamil dan mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding di Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang membuka tirai hujung bulan ini.
Kerber mengakui, ia satu keputusan yang berat namun sambil berseloroh mengatakan dua lawan satu bukan pertandingan yang adil.
Bekas pemain No.1 dunia itu semalam mendedahkan dia tidak akan menyertai Jelajah WTA buat sementara waktu kerana mengandung anak pertamanya.
“Untuk beberapa bulan akan datang, saya akan berehat daripada mengembara ke seluruh dunia sebagai pemain tenis tetapi sekali lagi, saya percaya ia adalah atas sebab yang terbaik!.
“Saya akan merindui anda semua. New York sering menjadi titik perubahan dalam kerjaya saya dan rasanya tahun ini tidak akan berbeza.
“Sejak memulakan semula kerjaya saya pada 2011 hingga memenangi gelaran pada 2016 dan ditabalkan sebagai pemain No.1 di dunia, ia tempat yang istimewa di hati saya.
“Saya harap berkesempatan mengucapkan selamat tinggal kepada anda di gelanggang sebelum berehat daripada siri jelajah buat seketika,” tulisnya di Instagram.
Kata bintang Jerman berusia 34 tahun itu, menjadi pemain profesional adalah amat bermakna namun pengalaman mengandungkan anak pertama sangat menakjubkan.
“Menjadi seorang atlet profesional amat bermakna buat saya tetapi saya bersyukur dengan laluan baru yang bakal ditempuhi.
“Sejujurnya, pada masa yang sama saya gementar dan teruja.
“Terima kasih atas sokongan berterusan anda, ia cukup bermakna buat saya,” katanya. – AGENSI