LONDON: Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah pun memecah rekod perbelanjaan biarpun jendela perpindahan hanya akan ditutup Khamis depan apabila membelanjakan 1.5 bilion pound (RM7.86 bilion) setakat ini, mengatasi rekod 2017 iaitu 1.43 bilion (RM7.50 bilion).
Ia juga lebih besar berbanding 1.44 bilion pound (RM7.55 bilion) yang dibelanjakan sepanjang musim lalu, manakala rekod sepanjang masa Liga Perdana adalah 1.86 bilion pound (RM9.75 bilion) yang dicatat pada musim 2017-2018.
Menurut analisis firma audit antarabangsa, Deloitte, angka tersebut dijangka meningkat secara drastik sebelum jendela perpindahan ditutup.
Penolong pengarah Kumpulan Perniagaan Sukan Deloitte, Chris Wood berkata, rekod perbelanjaan yang dilihat pada jendela perpindahan musim panas ini memberi petanda urus niaga perniagaan kelab Liga Perdana semakin pulih selepas pandemik Covid-19.

“Walaupun ia sangat menggalakkan, kepentingan untuk kelab mewujudkan dasar perbelanjaan bertanggungjawab dan mampan tidak boleh diambil mudah.
“Kelab mesti mengimbangi keinginan untuk berdaya saing di atas padang dengan keperluan melindungi daya maju kewangan dan operasi jangka panjang,” katanya.
Pada peringkat ini, dalam jendela perpindahan tahun lalu, perbelanjaan kasar kelab Liga Perdana ialah 895 juta pound (RM4.69 bilion).
Kelab Liga Perdana telah menandatangani 135 pemain musim panas ini, lebih daripada musim panas 2019 atau 2020.
Mereka menutup jendela perpindahan musim lalu dengan 148 pemain.

Dua pertiga daripada urus niaga tersebut menyaksikan bayaran telah dilakukan, termasuk 14 pemain yang dibeli kelab-kelab EPL dengan harga lebih 30 juta pound (RM157.24 juta).
Senarai itu didahului perpindahan penyerang Uruguay, Darwin Nunez dari Benfica ke Liverpool pada harga 85.5 juta pound (RM448.13 juta).
Manchester United membeli Casemiro dari Real Madrid pada harga 70 juta pound (RM366.99 juta).
Chelsea pula membelanjakan 60 juta pound (RM314.48 juta) untuk Marc Cucurella, 47.5 juta pound (RM239.53 juta) bagi mendapatkan Raheem Sterling daripada
Manchester City dan 34 juta pound (RM178.20 juta) untuk Kalidou Koulibaly.

United, City dan Arsenal melakukan dua pembelian bernilai lebih 30 juta pound, manakala Tottenham membayar 60 juta pound (RM314.48 juta) bagi membawa masuk Richarlison dari Everton.
Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland antara pembelian berprofil tinggi yang dilakukan City, yang membayar 51.5 juta pound (RM267 juta) kepada Borussia Dortmund.
Beberapa pasukan masih giat mahu menguatkan skuad pada saat akhir, di mana Chelsea, United, Liverpool dan Nottingham Forest antara yang aktif dalam jendela perpindahan. – AGENSI