Kegagalan RUU had tempoh PM, DAP akui berdepan tekanan penyokong - Utusan Malaysia

Kegagalan RUU had tempoh PM, DAP akui berdepan tekanan penyokong

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP mengakui berdepan tekanan daripada penyokong mereka susulan kegagalan meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri, minggu lalu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan kegagalan untuk meluluskan RUU itu di Dewan Rakyat berkait rapat dengan komitmen sesetengah ahli Parlimen.

Beliau berkata, kekurangan hanya dua undi amat mengecewakan dan tiada alasan yang boleh diterima bagi menjelaskan ketidakhadiran tersebut.

Anthony berkata, tindakan pembangkang yang tidak menyokong RUU itu juga mencerminkan mereka tidak mempunyai sebarang niat untuk melakukan pembaharuan terhadap pentadbiran negara.

“Pembangkang kita tahu lah, kita tahu permainan mereka. Ini menjelaskan pembangkang tidak berniat untuk membawa pembaharuan institusi. Bukan agenda mereka. Pembangkang tidak berminat dengan perkara seperti ini.

“Mungkin bagi mereka perkara ini tidak memberi kesan kepada kawasan mereka. Mereka juga tidak menerima tekanan daripada pengundi untuk menyokong RUU tersebut,” katanya dalam audio siar Lebih Masa yang dikendalikan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pada 2 Mac lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri gagal untuk diluluskan selepas tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen.

RUU tersebut hanya mendapat sokongan 146 ahli Parlimen, 32 tidak hadir dan 44 lagi berkecuali.

Mengulas mengenai alasan ketidakhadiran ahli Parlimen kerajaan, Anthony berkata, terdapat penjelasan yang diberikan secara tidak rasmi.

“Ada seorang ahli Parlimen dimasukkan ke hospital. Ada juga yang memaklumkan kawasan mereka dilanda banjir. Ada yang terperangkap dalam kesesakan trafik.

“Memang betul ketika itu hujan lebat. Saya sendiri pun terpaksa bergegas pada waktu itu. Namun, ini soal komitmen. Jika tidak hadir, apa pun alasannya sukar untuk diterima.

“Bagi kita, undian yang begitu bersejarah tidak boleh dilepaskan. Itu yang saya tekankan kepada ahli Parlimen. Saya minta semua ahli Parlimen yang sepatutnya hadir, supaya hadir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN