KUALA LUMPUR: Kerajaan mewujudkan Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) bagi bantuan lebih pantas, selaras dan mesra mangsa, khususnya dalam menangani isu kekeluargaan termasuk keganasan rumah tangga.
Inisiatif dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyatukan pelbagai perkhidmatan bawah satu bumbung, bagi memastikan wanita mendapat bantuan tanpa halangan birokrasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bukan hanya penyediaan perkhidmatan tetapi mesti didukung sepenuhnya semua kementerian dan jabatan berkaitan.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara perlu memastikan dalam mesyuarat-mesyuarat penyelarasan yang dilaksanakan, agenda wanita ada diketengahkan.
“Kerana tawaran sokongan ini lebih menyeluruh dan merangkumi khidmat nasihat, rujukan serta penyelarasan kes bersama pelbagai pihak berkepentingan.
“Ini fokusnya termasuk platform maklumat dan pemadanan perkhidmatan dan sokongan tatkala hadapi krisis. Hab advokasi termasuk memberi kefahaman dan pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dan peraturan-peraturan lain berkaitan.
“Jadi, perkhidmatan melalui bimbingan, kaunseling akan diteruskan. PRISMAnita ini diasaskan di semua Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Perdana Menteri turut memperluas insentif pengecualian cukai kepada syarikat korporat melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang diperkenalkan sejak 2022.
“Dalam Dasar Wanita Negara 2025-2030, tumpuannya adalah pemerkasaan wanita. Maknanya memberikan ruang, peluang, pendedahan, kegiatan ekonomi, perlindungan sosial dan menjamin satu peraturan, kaedah ekosistem pekerjaan yang lebih responsif dan merangkum.
“Insentif cukai ini termasuk dalam bidang penjagaan anak-anak, pengaturan kerja fleksibel, program sokongan kerjaya, latihan kemahiran dan dasar mesra keluarga,” katanya.
Difahamkan, di bawah Dasar Wanita Negara yang bermatlamat memperkasa golongan wanita di Malaysia, KPWKM akan memainkan peranan dalam menyokong pelaksanaan Lindung Kasih melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
YKN akan menjadi badan perantara kepada badan korporat untuk menaja caruman, seterusnya membolehkan syarikat mendapat pengecualian cukai.
Pihak yang menyalurkan tajaan caruman Skim Lindung Kasih melalui YKN layak menikmati pengecualian cukai selaras dengan peruntukan Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967. – UTUSAN










