PETALING JAYA: Kejayaan skuad Johor Darul Ta’zim III (JDT III) menjulang kejuaraan Piala Presiden dengan menewaskan Pahang 4-2 secara agregat memberikan peluang buat Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kesemua tiga pertandingan utama di negara ini.
Prestasi semasa skuad senior yang unggul di persada Liga Super dengan peluang cerah merangkul kejuaraan Liga Super kali kesembilan berturut-turut diikuti JDT II yang berpeluang membawa pulang trofi Liga Perdana.
Berbaki dua perlawanan aksi Liga Perdana, JDT II kini berkongsi 36 mata dengan Kelantan FC di puncak carta.
Bagi Ketua Jurulatih JDT II, Raul Mariano berkata, kemenangan ke atas Skuad Projek FAM-MSN sebelum ini membuktikan yang anak buahnya begitu teruja untuk cuba menoktahkan musim ini dengan kejayaan.
“Seluruh pasukan tahu yang kami perlu menang untuk berada di kedudukan teratas liga. Buat ketika semuanya bergantung kepada kami sendiri, khususnya bagi menghadapi baki saingan musim ini.
“Realitinya, perkara paling penting adalah kami perlu sentiasa bersiap sedia dan perbaiki segala kelemahan yang ada. Pasukan ini mencari (hasil) di penghujung musim sebab kita inginkan gelaran juara,” katanya.
JDT II akan menerima kunjungan Terengganu II di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang sebelum menamatkan aksi liga dengan menentang Selangor II di Stadium UiTM pada 17 September nanti.