KOTA BHARU: Kelantan United kempunan mengutip tiga mata di laman sendiri apabila diikat 1-1 oleh Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.
Tuan rumah bermula langkah kanan apabila meledak gol pembukaan seawal minit ke-12 menerusi Mohamad Amirul Shafik Che Soh yang bijak memanfaatkan peluang ketika mengatur serangan balas ke kubu lawan.
Ketinggalan satu gol di belakang JDT II terus mengatur serangan sehingga berjaya mencipta peluang untuk menjaringkan gol namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.
Bagaimanapun, anak didik Syamsul Saad ‘tenang’ dengan corak disiplin tinggi sambil beberapa kali cuba mencari peluang dengan melancarkan serangan balas untuk mendapatkan jaringan tambahan dan keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua perlawanan, pelawat menggandakan serangan untuk mencari gol penyamaan dan beberapa kali berjaya menembusi benteng pertahanan tuan rumah.
Menuju minit-minit akhir perlawanan, JDT II terus menggandakan serangan dan mempertingkatkan tempo perlawanan sehingga sesekali memaksa tuan rumah berkampung di kubu sendiri dan menahan setiap asakan pelawat.
Bagaimanapun sedikit kesilapan di bahagian pertahan meranapkan harapan Kelantan United untuk merekodkan kemenangan di halaman sendiri apabila Evan Wensley tertanduk bola ke gawang sendiri.
Keputusan seri 1-1 yang dilakar kedua-dua pasukan itu memberikan kelegaan buat Kelantan FC dalam usaha mereka mengukuhkan cengkaman di puncak liga.
Selepas mengarungi 13 perlawanan Kelantan United menghuni tangga kelima dalam carta liga dengan mengumpul 18 mata. – UTUSAN ONLINE