Yamal sedia bersinar berdepan Portugal

Yamal sedia bersinar berdepan Portugal

Luis de la Fuente
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARLINGTON: Ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente yakin bintang muda sensasi, Lamine Yamal akan sekali lagi mempamerkan aksi terbaik apabila pasukannya berdepan Portugal dalam saingan pusingan 16 terbaik Piala Dunia, esok.

Menurut De la Fuente, pemain berusia 18 tahun itu gemar menggalas tanggungjawab dalam perlawanan berprofil tinggi dan sentiasa bersedia menjadi tonggak pasukan.

“Dia sangat bermotivasi. Saya tahu Lamine sukakan perlawanan seperti ini.

“Dia suka menjadi tumpuan, memikul tanggungjawab dan mengambil inisiatif. Itu adalah satu sifat yang sangat positif kerana dia seorang pemain yang proaktif,” katanya pada sidang media menjelang aksi di Stadium Dallas.

Yamal yang beraksi bersama Barcelona tidak menjaringkan gol ketika Sepanyol menewaskan Austria 3-0 pada pusingan 32 terbaik, namun tetap mencuri perhatian menerusi persembahan bertenaga yang membantu juara Eropah itu mara dengan penuh bergaya.

De la Fuente turut menyifatkan Yamal sebagai pemain istimewa yang memiliki kualiti luar biasa meskipun masih muda.

“Benar-benar satu nikmat dapat melihat seorang pemain yang mempunyai ciri-ciri seperti ini,” katanya.

Yamal dilihat semakin menemui rentak selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya sebelum kejohanan bermula di Amerika Utara.

Begitu juga dengan Sepanyol yang semakin menyerlah selepas memulakan kempen dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Cape Verde.

Sejak itu, skuad kendalian De la Fuente mencatat tiga kemenangan berturut-turut tanpa melepaskan sebarang gol sekali gus meningkatkan keyakinan menjelang pertemuan dengan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo.

Mengulas perkembangan pemain itu, De la Fuente berkata, Yamal juga semakin memahami kepentingan membantu pasukan ketika bertahan, khususnya apabila berdepan lawan yang memiliki ramai pemain berkualiti dari segi teknikal.

“Dia sentiasa mahu memperbaiki dirinya. Dia sedar aspek pertahanan juga penting dalam proses perkembangannya sebagai seorang pemain.

“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang dilakukannya dan seluruh pasukan juga menunjukkan prestasi yang membanggakan,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN