Pelajar antarabangsa hanya 8.9 % – KPT

Pelajar antarabangsa hanya 8.9 % – KPT

KPT menyangkal dakwaan pelajar antarabangsa merampas peluang anak tempatan ke menara gading. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) me­nyangkal dakwaan kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam (UA) mengurangkan peluang pelajar tempatan, sebaliknya menegaskan pengambilan kedua-dua kumpulan itu dilaksanakan menerusi saluran dan kuota yang berbeza.

KPT berkata, dakwaan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah itu tidak menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara.

“KPT menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan mengelirukan.

“Agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukanlah dasar baharu atau dasar yang diwujudkan secara ad hoc.

Ia merupakan dasar kebangsaan yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad lalu,” katanya dalam ke­nyataan, semalam.

KPT berkata, dasar itu dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007 bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Katanya, berdasarkan data rasmi menerusi sistem MyMoheS sehingga 31 Disember 2025, jumlah keseluruhan enrolmen pelajar di IPT awam dan swasta seramai 1,264,541 orang.

“Daripada jumlah itu, pelajar antarabangsa hanya seramai 159,138 orang atau sekitar 12.6 peratus.

“Bagi UA pula, jumlah keseluruhan enrolmen adalah seramai 634,706 orang, manakala pelajar antarabangsa hanya 56,565 orang atau 8.9 peratus daripada keseluruhan enrolmen,” kata­nya.

KPT berkata, jumlah pelajar prasiswazah di UA adalah seramai 520,105 orang, dengan 502,212 daripadanya merupakan pelajar Malaysia atau 96.56 peratus.

Katanya, pelajar antarabangsa bagi peringkat prasiswazah pula hanya 17,893 orang atau 3.44 peratus.

“Data ini dengan jelas menunjukkan majoriti pelajar antarabangsa berada di peringkat pascasiswazah, bukannya bersaing mendapatkan tempat bersama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi atau diploma yang memohon ke program prasiswazah,” katanya.

Dalam pada itu, KPT turut menolak dakwaan bahawa pelajar antarabangsa di lima Universiti Penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan

Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) me­rampas tempat pelajar tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN