Hector lulus ujian sulung, JDT 'ratah' KL City

Hector lulus ujian sulung, JDT ‘ratah’ KL City

BERGSON Da Silva meraikan gol pertamanya ketika membantu JDT menumpaskan KL City dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Hector Bidoglio ‘lulus’ ujian pertama sebagai pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan bergaya apabila pasukannya membelasah Kuala Lumpur City (KL City)  5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Ayam tambatan Harimau Selatan, Bergson Da Silva muncul wira apabila meledak dua gol pada babak pertama bagi memudahkan laluan JDT mengutip tiga mata.

Skuad kendalian Bidoglio lebih mendominasi permainan pada babak pertama, sekali gus menenggelamkan aksi pasukan bimbingan Bojan Hodak yang cuba mengejutkan pasukan tuan rumah.

Pengadil perlawanan, Mohd. Fusser Mad Salleh menjadi tumpuan apabila menukar keputusannya dengan menghadiahkan penalti kontroversi buat JDT setelah Fernando Forestieri dikasari Giancarlo Gallifuoco.

HECTOR Bidoglio memulakan tugasnya dengan cemerlang ketika memimpin JDT membenam KL City. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Peluang itu tidak disia-siakan Bergson apabila bijak memperdayakan Kevin Ray Mendoza untuk meletakkan JDT mendahului pada minit ketujuh.

Dua minit berselang, Fernando Forestieri hampir mencipta jaringan menerusi sepakan voli, namun percubaannya sedikit kuat melewati palang gol.

Kecekapan Mendoza terus diuji kali ini menerusi rembatan jarak jauh Nazmi Faiz Mansor, namun rembatan tersebut tepat ke arah penjaga gawang itu pada minit ke-17.

Pada minit ke-25, Bergson menambah jaringan hasil umpanan Corbin Ong dan sentuhan pertamanya membolehkan penyerang kelahiran Brazil itu melepasi kawalan Gallifuoco dan Kamal Azizi Zabri sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Mendoza.

KL City turut berupaya mengatur serangan ke arah kubu JDT menerusi gerakan Jordan Mintah dan Paulo Josue, namun ketumpulan serangan menyaksikan gawang yang dikawal Farizal Marlias sukar dibolosi.

BERGSON Da Silva dikawal ketat pemain pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco dan Mohamad Kamal Azizi pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Bersambung babak kedua, tidak banyak perubahan yang dilakukan pasukan pelawat untuk bangkit pada perlawanan itu setelah JDT terus mendominasi permainan.

KL City terus berada pada kedudukan sukar apabila skuad Harimau Selatan sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan setelah Arif Aiman Hanapi diterjah oleh Anwar Ibrahim dalam kotak penalti.

Leandro Velazquez yang diberikan tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti kedua pada minit ke-55 mudah menewaskan Mendoza biarpun penjaga gol itu sudah merebahkan badan ke posisi yang tepat.

Hodak dilihat sudah buntu untuk mencatur pemainnya supaya bangkit pada perlawanan itu setelah aksi KL City longlai menjadikan JDT terus bernafsu melancarkan serangan untuk menambah jaringan.

Forestieri akhirnya berjaya meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila gerakan satu dua bersama Velazquez berjaya memerangkap barisan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan menerjah jaring pada minit ke-70.

Safawi Rasid yang dibawa masuk ketika permainan berbaki 10 minit itu melengkapkan malam cemerlang Bidoglio apabila menjaringkan gol kelima  JDT menerusi rembatan deras dari luar kotak menewaskan Mendoza pada minit ke-83. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya