SOUTHAMPTON: Dua minggu lalu, Manchester United menghuni tangga tercorot Liga Perdana Inggeris, namun sentuhan Erik ten Hag mula menampakkan hasil apabila Red Devils melonjak ke tangga keenam selepas menumpaskan Southampton 1-0 di tempat lawan, sebentar tadi.
Jaringan Bruno Fernandes pada minit ke-55 memadai untuk membawa United melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menumpaskan Liverpool 2-1, Isnin lalu.
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan ketua pasukan, Harry Maguire sekali lagi diketepikan daripada kesebelasan utama, dan Red Devils tetap bahaya tanpa dua bintang mereka.
Bruno Fernandes, Christian Eriksen dan Anthony Elanga mengatur beberapa gerakan menarik ke kubu lawan, namun gagal menemui penyudah.

Tuan rumah turut menguji benteng United menerusi gerakan cantik Joe Aribo tetapi pertahanan Red Devils, Lisandro Martinez menanduk keluar bola dari kawasan bahaya pada minit ke-28.
Selepas babak pertama buntu tanpa jaringan, United bermula agresif sebaik sahaja separuh masa kedua bersambung.
Anak-anak buah Ten Hag terus mengasak kubu lawan, dan akhirnya Fernandes meledak gol yang dicari-cari pada minit ke-55 selepas menyudahkan hantaran cantik Diogo Dalot.

Pada minit ke-67, Ten Hag melakukan pertukaran dengan membawa masuk Ronaldo menggantikan Jadon Sancho, yang agak tenggelam di St. Mary’s.
Selepas tidak banyak ancaman dilakukan Red Devils, Ten Hag membuat satu lagi pertukaran yang dinantikan penyokong Red Devils dengan memperkenalkan bintang baharu mereka, Casemiro menggantikan Elanga pada minit ke-80.

Tidak banyak sentuhan menarik berlaku di hujung permainan, biarpun United turut memasukkan Fred bagi menggantikan Eriksen. Keputusan 1-0 kekal hingga tamat permainan.
Kemenangan itu membolehkan United mengumpul enam mata, tiga mata di belakang pendahulu, Arsenal yang bagaimanapun memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. – AGENSI