Farhan musnahkan impian Kedah raih tiga mata

Farhan musnahkan impian Kedah raih tiga mata

MAHMOUD Al-Mardi (tengah) terlepas beberapa peluang untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat (kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Setelah mencatat tiga kekalahan berturut-turut termasuk pada aksi separuh akhir Zon Asean Piala AFC, Kedah Darul Aman (KDA) FC terus kempunan untuk mencipta kemenangan.

Kali ini, dalam perlawanan Liga Super menentang Sabah FC, pasukan pelawat berjaya mencuri satu mata di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Jaringan awal Ronald Ngah Wanja pada minit keenam tidak cukup untuk memastikan Sang Kenari meraih tiga mata berharga walaupun keputusan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Sabah yang kini menghuni tangga kedua carta cuba mengasak kubu tuan rumah dengan bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menggerakkan beberapa serangan ke pintu gol lawan bersama rakan sepasukannya.

MOHD. Amri Yahyah cuba melepasi kawalan Mohd. Akmal Md. Zahir ketika aksi KDA menentang Sabah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Namun, tiada jaringan terhasil termasuk usaha anak-anak buah Aidil Sharin Sahak yang mahu menambah jaringan bagi menjarakkan kedudukan.

Ketika permainan waktu sebenar berbaki 10 minit, pemain sayap Sabah, Farhan Roslan memusnahkan impian bekas pasukannya apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-84.

Farhan yang digelar ‘Messi Kedah’ ketika bersama Sang Kenari menyambar umpanan Saddil Ramdani dngan kaki kirinya untuk menewaskan Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim.


RIZAL Ghazali (kanan) merampas bola daripada Ronald Ngah Wanja dalam aksi Liga Super antara KDA dan Sabah yang berakhir seri 1-1. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Pemain antarabangsa Jordan, Mahmoud Al-Mardi mendapat peluang untuk meledak gol kemenangan KDA pada minit ke-90, namun sepakan percuma dari luar kotak penalti berjaya ditepis Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain gantian Sabah, Azhad Harraz Arman juga hampir memastikan pelawat membawa pulang tiga mata, namun sepakan leretnya dari arah kanan hanya melewati tiang gol ketika Mohd. Ifwat dilihat sudah tertewas.

Tambahan masa lima minit daripada pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin bagaimanapun tidak berjaya diambil peluang oleh kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat dibunyikan di hadapan 5,621 penonton. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.