KUANTAN: Sri Pahang mahu melupakan kekecewaan Piala FA untuk memberi tumpuan melayakkan diri ke Piala Malaysia musim ini.
Jurulatih interim Tok Gajah, Dollah Salleh mahu memulakan langkah kanan ke arah piala berprestij tersebut apabila berdepan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur malam ini.
Walaupun tewas 2-5 kepada Penang FC di suku akhir Piala FA, bekas pemain kebangsaan itu menyeru anak-anak buahnya tidak terus berduka, sebaliknya segera memperbaiki kelemahan yang dikesan dalam perlawanan tersebut.
“Latihan kini lebih kepada terarah meningkatkan tahap kecergasan pemain yang nampak cepat letih dan hilang tumpuan.
“Terdapat banyak perlawanan yang masih berbaki sementara kedudukan mata tidak terpisah jauh, jadi tidak mustahil untuk Sri Pahang melakukan kejutan,” kata Dollah.
Dalam pertemuan Piala FA dengan Penang FC, Sri Pahang hanya mempamer permainan terbaik dalam tempoh 40 minit pertama untuk mendahului 2-0.
Begitupun, mereka akhirnya tewas kerana kurang stamina di hujung saingan.
Kebangkitan dalam Liga Super akan membawa skuad Sri Pahang beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.
Tidak banyak pilihan untuk menurunkan kesebelasan terbaik, Dollah dijangka menaruh harapan kepada barisan pemain sama yang beraksi ketika menentang Penang tempoh hari dalam aksi bertemu Selangor FC.
Selepas mengharungi 11 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kedua tercorot dengan mengutip lapan mata.