100 teksi robot terhenti mengejut di jalan raya - Utusan Malaysia

100 teksi robot terhenti mengejut di jalan raya

GAMBAR fail sebuah teksi robot di Wuhan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Gangguan sistem secara besar-besaran melibatkan teksi robot menyebabkan sejumlah penumpang terkandas di tengah-tengah aliran trafik yang sesak di sebuah bandar utama di China, sehingga mengakibatkan kemalangan berantai. 

Laporan awal mendedahkan bahawa kegagalan sistem pada Selasa itu menjejaskan kira-kira 100 teksi robot tanpa pemandu kendalian syarikat Apollo Go milik firma Baidu di Wuhan.

Sehingga kini, punca sebenar insiden berkenaan masih dalam siasatan. 

Satu video yang disahkan oleh Reuters dan tular di aplikasi Douyin menunjukkan deretan kenderaan tersebut terhenti di jalan raya yang sibuk sehingga menghalang kelancaran trafik. Media tempatan melaporkan terdapat penumpang yang terperangkap di dalam kenderaan selama hampir dua jam.

Memetik laporan akhbar The Paper yang berpangkalan di Shanghai, seorang anggota polis memaklumkan bahawa walaupun pintu kenderaan boleh dibuka, penumpang berasa teragak-agak untuk keluar.

Ini adalah  disebabkan trafik yang sangat berbahaya dan mereka  terpaksa menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan. Setakat ini, pihak Baidu belum memberikan sebarang ulasan rasmi berhubung insiden tersebut.

Seorang penumpang memberitahu media China bahawa teksi robot yang dinaikinya terhenti sejurus selepas membelok di satu sudut jalan. Skrin di dalam kenderaan itu memaparkan arahan ‘Sistem pemanduan mengalami gangguan’. 

Selepas menunggu tanpa sebarang bantuan tiba, penumpang berkenaan menekan butang bantuan (SOS) sebelum memutuskan untuk keluar sendiri dari kenderaan tersebut.

Kejadian itu mencetuskan semula perbincangan hangat di media sosial China mengenai tahap keselamatan dan kesediaan teknologi teksi robot. 

Sebelum ini, sebuah teksi robot Apollo Go dilaporkan terjatuh ke dalam lubang pembinaan di Chongqing pada Ogos tahun lalu. Sebuah kenderaan kendalian Pony.ai terbakar di sebuah jalan di Beijing pada Mei tahun lepas. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kedua-dua insiden berkenaan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN